Showing posts with label brickfields. Show all posts
Showing posts with label brickfields. Show all posts

Thursday, October 28, 2010

Little India ubah landskap Brickfields

Infrastruktur dinaik taraf, berwajah baru

KUALA LUMPUR: Kira-kira 10,000 menyaksikan pelancaran Little India Brickfields di sini yang dirasmikan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Perdana Menteri India, Dr Manmohan Singh, di sini semalam.

 People attending the launch of Little India in Brickfields

Brickfields yang menjadi kawasan tumpuan utama kaum India di ibu negara yang kini berwajah baru diserikan seni ukiran pintu gerbang berwarna warni di sepanjang Jalan Brickfields yang direka hasil nasihat pakar ukiran dari India.

Lebih menarik, kedua-dua pemimpin menghadiahkan pancuran air setinggi 7.62 meter dengan arca flora dan fauna, di persimpangan Jalan Travers, Jalan Tun Sambanthan dan Jalan Brickfields sebagai mercu tanda utama Little India Brickfields.

Projek itu menjadikan seluruh kawasan Brickfields mengalami perubahan dari segi susun atur gerai, corak hiasan jalan raya, selain infrastruktur dinaikkan taraf terutama bagi menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas dan kekurangan tempat letak kenderaan.

Little India Brickfields kini bermandikan cahaya pada waktu malam, sekali gus menonjolkan imej dan seni budaya kaum India yang bertapak sejak ratusan tahun di negara ini.

Projek itu adalah cetusan idea Najib ketika melakukan tinjauan mesra ke Brickfields pada April tahun lalu, sehari selepas menjadi Perdana Menteri. Ia merangkumi kawasan berhampiran KL Sentral, hab pengangkutan di ibu negara dari Jalan Travers ke Jalan Tun Sambanthan dan dibangunkan dalam dua fasa oleh pemaju Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) membabitkan kos RM35 juta.
 Najib membuat tinjauan di Little India Brickfields selepas pelancarannya.

Sementara itu, dalam ucapannya menganggap kehadiran Manmohan melancarkan Little India Brickfields adalah simbol hubungan kedua-dua negara yang semakin rapat.

“Majlis ini adalah simbolik kepada pembaharuan hubungan kedua-dua negara pada abad ke-21 yang sudah lama terjalin sejak ratusan tahun,” katanya.

Perdana Menteri turut berkata, bersesuaian dengan pelancaran itu, Brickfields kini memasuki era baru kerana ia bukan sekadar menjadi kawasan penempatan dan perniagaan kaum India, malah lokasi menarik pelancong asing.

# INFO: MoU sektor swasta Malaysia-India

# Quantum Sigma Sdn Bhd dengan ES Electronic (India) Pvt Ltd bagi menubuhkan kilang mengeluarkan panel solar dan palam jimat tenaga di Bentong Pahang. - Nilai: RM18 bilion.

# MK Land Holdings Bhd dengan Embassy Group of India bagi usaha sama membangunkan tanah seluas 120 hektar di Bangalore, India membina sekolah swasta, stesen minyak, stesen bas, kedai kejiranan, klinik, padang kriket dan landskap pejalan kaki. - Nilai: RM2 bilion.

# Budayatama Corporation Sdn Bhd dengan PEN Food Pvt Ltd bagi PEN Food bagi memberi nasihat dan menawarkan kepakaran dalam perniagaan menghasilkan campuran berkualiti tinggi baja biokomposit kepada Budayatama Corporation. Kilang akan dibina di Malaysia. - Nilai AS$31 juta.

# TH-NSTC Sdn Bhd dengan Davanam Constructions Pvt Ltd bagi membangunkan kediaman mewah bertaraf dunia yang densiti sangat rendah berserta rumah kelab yang diuruskan oleh General Hotels Management di bandar Enstek, Nilai membabitkan kawasan seluas kira-kira 80 hektar. - Nilai: RM1.5 bilion.

# Penerbangan Malaysia (MAS) dengan Tata Consultancy Services Sdn Bhd bagi kerjasama bidang teknologi dan khidmat nasihat.

# Universiti Tenaga Nasional Sdn Bhd dengan Institut Sumber dan Tenaga TERI bagi kerjasama pendidikan, penyelidikan, pembangunan kapasiti dan perundingan.

# IEM Training Center Sdn Bhd dengan Engineering Staff College of India bagi kerjasama bidang pembangunan berterusan jurutera di negara masing-masing.

Tuesday, October 27, 2009

Brickfields jadi Little India

Brickfields untuk kebanyakan orang Melayu macam aku bukanlah tempat yang menarik sangat. Dulu selalu juga aku ke situ, tapi hanya untuk ke YMCA, sebab bank tempat aku kerja sewa padang tu dua kali seminggu untuk staf-staf main bola. Tapi kalau nak kira, tempat tu jam dan agak kelam-kabut sebab selalunya banyak gerai di bibir-bibir jalan.

YMCA Brickfields


Tapi bagi masyarakat India, gerai-gerai inilah yang menghidupkan Brickfields, kerana gerai-gerai ini menjual pelbagai produk yang digemari kaum India. Maka mungkin sebab itu lah maka kerajaan telah mengenal pasti untuk menjadikannya produk pelancongan. Nampak gayanya antara langkah nya ialah mengiktiraf keIndiaan tempat itu, iaitu tukar namanya jadi Little India.

Gerai bunga

Rencana mengenai Brickfields jadi Little India

KUALA LUMPUR 16 Okt. - Kawasan Brickfields secara rasmi akan diisytiharkan sebagai Little India bermula awal tahun depan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, perbincangan khusus untuk projek itu sudah berada di tahap akhir dan menunggu beberapa prosedur untuk diluluskan.

Jelasnya, kepentingan Brickfields sebagai kawasan tumpuan orang India dilihat boleh menjana sumber pendapatan dalam sektor pelancongan sekali gus menguntungkan negara.

"Kita akan menjadikan kawasan ini sebagai Little India awal tahun depan. Kita mahu kawasan ini diiktiraf sebagai lokasi pelancongan dan tumpuan orang India.

"Perbincangan mengenai projek itu sudah di tahap akhir. Kita mahu ia dikomersialkan seperti Jalan Petaling yang menjadi China Town untuk orang Cina di ibu kota," katanya selepas membuat lawatan ke bazar Deepavali 1Malaysia di sini.


Turut hadir, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk M. Saravanan dan Pengerusi Persatuan Peniaga Brickfields, S. Barath.

Terdahulu, Nong Chik dan Saravanan meluangkan masa kira-kira sejam setengah melawat tapak bazar berkenaan yang menempatkan 428 gerai jualan pelbagai barang keperluan sempena Deepavali yang akan disambut esok.

Tambah Nong Chik, keperluan untuk menjadikan Brickfields sebagai Little India dilihat penting untuk kemajuan kawasan itu sendiri.

Tegasnya, struktur gerai di situ akan disusun semula dengan lebih teratur untuk kemudahan pelancong asing mahupun pengunjung tempatan sendiri.

"Kita jadikan pembangunan kawasan ini satu keutamaan. Kita tahu prospek kawasan ini dan tidak mahu ia dipinggirkan.

"Semua gerai yang menjual barangan tradisional orang India akan disusun semula supaya ia teratur dan peniaga sendiri boleh membuka gerai mereka untuk sepanjang tahun," ujarnya.

Sementara itu S. Barath berkata, kehadiran Nong Chik dan Saravanan sendiri ke kawasan itu disifatkan tanda keprihatinan kedua-dua Menteri terhadap pembangunan Brickfields.

Jelasnya, perhatian kerajaan terhadap masalah yang dihadapi peniaga di Brickfields dan cadangan untuk menaik taraf kawasan itu kepada Little India benar-benar dihargai.

"Kita berbangga kerana dua menteri datang dan melihat sendiri peniaga di sini. Ini membuktikan kita tidak pernah dipinggirkan.

"Pengumuman untuk menjadikan Brickfields Little India awal tahun depan benar-benar menggembirakan. Ia menjamin kawasan ini menjadi sebuah destinasi pelancongan yang pasti membawa keuntungan kepada semua pihak," ujarnya.

Oleh WAN SYAMSUL AMLY
kota@utusan.com.my