Tuesday, April 21, 2009

Raja Nong Chik Berbakti Demi Rakyat

Raja Nong Chik bukanlah orang sebarangan. Kenapa saya kata begitu? Lihatlah apa yang telah dilakukan dalam masa beberapa hari beliau diamanahkan dengan tanggungjawab sebagai Menteri Wilayah Persekutuan. Ada yang tidak percaya terhadap kemampuan beliau untuk memajukan wilayah persekutuan, malah untuk menaiktarafkan KL dan penduduknya. Tapi saya percaya berita-berita tersiar dan bukti-bukti yang terpampang mampu menangkis dan menafikan tanggapan-tanggapan terbabit.

Semua orang tahu bukan senang tanggungjawab Menteri Wilayah Persekutuan tapi kita masih berada di muka surat satu, jalan cerita masih kabur di pandangan kita. Oleh itu kita hanya mampu tunggu apa yang si penulis, Raja Nong Chik ingin ceritakan kepada kita.

Berikut adalah artikel yang saya ambil dari berita harian online.

`````````````````````````````````````````````````````````````````````````````

Raja Nong Chik mahu pastikan penduduk di ibu negara hidup sejahtera

KUALA LUMPUR : Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin akan memulakan tugas baru beliau untuk permulaan tiga bulan pertama ini dengan lebih kerap turun padang berjumpa pemimpin masyarakat di ibu negara bagi mengetahui masalah yang ada.

Katanya, pendekatan itu sejajar dengan matlamat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mahukan setiap pandangan dan masalah serta keperluan penduduk diutamakan bagi menjamin kesejahteraan hidup bermasyarakat di negara ini.

“Untuk jangka masa pendek bagi tiga bulan pertama ini, saya akan turun padang berbincang dengan pemimpin masyarakat di sini untuk membincangkan beberapa masalah membabitkan penduduk termasuk masalah perumahan, penjaja, penyelenggaraan dan kemiskinan di ibu negara.

“Saya juga akan mendekatkan diri atau lebih berkenalan dengan pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi memudahkan kerja sebagai satu kumpulan bagi merencana urusan di ibu negara selain mempersiapkan diri untuk prestasi kerja dalam masa sebulan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja pertama di pejabat beliau di DBKL di sini, semalam, selepas dilantik menjadi menteri terbabit menggantikan Datuk Seri Zulhasnan Rafique pada 9 April lalu.

Hadir sama, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Fuad Ismail; Ketua Pengarah DBKL, Datuk Salleh Yusup dan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Ahmad Phesal Talib.

Raja Nong Chik berkata, dengan pengalaman yang ada sebagai Ketua Umno Bahagian Lembah Pantai, beliau percaya tidak akan berhadapan sebarang masalah untuk berjumpa dengan penduduk setempat untuk bersama mendekati dan menyelesaikan masalah rakyat pada peringkat akar umbi.

Katanya, beliau juga memahami cara kerja yang dijalankan DBKL selama ini dan melihat peranan yang dimainkan DBKL perlu diperhebatkan lagi dari semasa ke semasa dengan memberi fokus utama terhadap kepentingan masyarakat.

“Pembaharuan yang akan dilaksanakan ini adalah mengikut keperluan yang ada dari segi kewangan tambahan pula dalam keadaan dunia mengalami krisis ekonomi hebat dan ini termasuk matlamat dalam menjadikan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandaraya bertaraf dunia, ia memerlukan masa dan komitmen secara berperingkat.

“Ia bukan sekadar ingin menjadikan ibu negara dikenali sebagai bandaraya berkelas dunia dan pusat perniagaan semata-mata, tetapi juga kita akan menggiatkan usaha ke arah pentadbiran dan keperluan penduduk dengan kerjasama beberapa pihak yang boleh membantu menjadikan Kuala Lumpur kota yang lebih tersusun,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Fuad berkata, pihaknya juga akan bersama-sama kementerian mendengar masalah dan pandangan masyarakat setempat selain mempertingkatkan beberapa mekanisme serta mengenal pasti ciri-ciri yang ada dalam menjadikan Kuala Lumpur bandar raya bertaraf dunia.

Oleh Umi Nadirah Abdul Rahman

`````````````````````````````````````````````````````````````````````````````

Ramai antara kita pandai bercakap, tapi tidak ramai yang mampu jadi seperti Raja Nong Chik, yang mampu memimpin sejajar dengan keperluan dan perkembangan semasa. Sokongan penuh dari saya buat Raja Nong Chik!

No comments:

Post a Comment