Raja Nong Chik berkata, pihaknya akan berusaha untuk membasmi sepenuhnya kemiskinan di kawasan bandar khususnya di Kuala Lumpur. Saya tengok Raja Nong Chik adalah seorang pemimpin yang berjiwa rakyat. Sebagai seorang pemimpin, memang senang hendak menabur janji tapi tindakan dan usaha yang rakyat perlukan.
Petikan berita berikut saya ambil dari Utusan Online.
----------------------------------------------------------------------------------
Nasib 18 keluarga terbela
KUALA LUMPUR 26 April - Nasib 18 keluarga setinggan yang terhimpit di celah bangunan tinggi di Pantai Baru di sini akhirnya terbela apabila Menteri Wilayah Persekutuan, Senator Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berjanji untuk membantu mereka.
Menurutnya, keluarga-keluarga itu akan dibantu dengan mengusahakan penempatan baru yang selesa dalam waktu terdekat ini.
"Usaha akan dilakukan bagi membolehkan keluarga-keluarga ini menerima rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) tetapi sebelum itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menjalankan bancian terhadap 18 keluarga ini terlebih dahulu.
"DBKL akan memastikan mereka memenuhi syarat untuk mendapat rumah di PPR dan merupakan warga negara Malaysia," katanya ketika ditemui semasa melawat 18 keluarga terbabit baru-baru ini.
Beliau berkata, apabila semuanya sudah selesai, lokasi yang sesuai akan dicari supaya keluarga terbabit dapat menjalani kehidupan dengan lebih selesa.
Dalam pada itu, Raja Nong Chik berkata, pihaknya akan berusaha untuk membasmi sepenuhnya kemiskinan di kawasan bandar khususnya di Kuala Lumpur.
Katanya, ia adalah bersesuaian dengan agenda kerajaan yang mahukan nasib rakyat yang susah dibela.
Menurutnya lagi, beliau juga akan berusaha untuk membersihkan kawasan Lembah Pantai pada tahun ini daripada setinggan.
"Matlamat akhirnya ialah seluruh kawasan Kuala Lumpur bebas setinggan menjelang tahun 2010," tegasnya.
Sementara itu, seorang penduduk setinggan yang ditemui, Deris Deraman, 67, berkata, dia terharu dengan kunjungan Raja Nong Chik di kawasan penempatannya itu.
"Kesusahan yang selama ini dialami oleh penghuni di sini telah pun mendapat perhatian dan berharap kami dapat keluar daripada kesukaran ini," katanya sambil memberitahu bahawa rumahnya telah beberapa kali dimasuki haiwan berbisa sejak 30 tahun tinggal di situ.
Seorang lagi penghuni setinggan yang ditemui, Zamri Mohd. Nor, 33, berharap kunjungan Menteri Wilayah Persekutuan itu akan dapat menunaikan janji yang pernah diberikan kepada penduduk di situ kira-kira setahun yang lalu.
Katanya, penghuni-penghuni di situ sememangnya berharap agar mereka dapat dibantu bagi merungkai masalah yang telah membelenggu keluarga masing-masing selama ini.
Oleh NAZMIL NASIRUDDIN
-----------------------------------------------------------------------------------
Raja Nong Chik pernah berkata yang dia hanyalah seorang yang di kalangan golongan biasa. Bukanlah seorang pemimpin ternama tapi ciri-ciri inilah yang jarang ada di kalangan pemimpin sekarang ini. Seorang pemimpin yang senang berada di kalangan rakyat jelata tidak kira golongan miskin atau kaya, inilah yang kita harapkan, seperti yang ditunjukkan oleh Raja Nong Chik.
No comments:
Post a Comment