Saturday, October 10, 2009

Mangsa kebakaran di Taman Datuk Senu dapat bantuan segera

Kebakaran merupakan satu malang yang kesannya sangat destruktif. Sesiapa yang pernah kehilangan harta benda mungkin pernah merasa peritnya kesan yg diterima terutama dari segi kewangan dan kesusahan yg terpaksa diharung hinggalah barang yg hilang diganti semula. Tapi bayangkan. Jika kita jadi mangsa kebakaran, semuanya hilang sekaligus!

Kelmarin di Taman Datuk Senu berlaku kebakaran yang melanda beberapa rumah. Mujur dapat bantuan segera, malah Menteri Wilayah Raja Nong Chik pun turun padang direct untuk naikkan semangat mangsa dan beri sokongan moral dan sedikit sumbangan.


RajA Nong Chik melawat salah sebuah rumah mangsa kebakaran di Taman Datuk Senu, Kuala Lumpur, semalam.

Di bawah laporan dari Utusan

Bantuan segera beberapa agensi buktikan keikhlasan

KUALA LUMPUR 7 Okt. - Beberapa agensi yang cepat menghulurkan bantuan kepada mangsa kebakaran di Taman Datuk Senu di sini benar-benar menunjukkan keprihatinan terhadap penduduk tempatan.
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, sumbangan segera kurang daripada 24 jam yang diberi membuktikan agensi berkenaan benar-benar ikhlas membantu masyarakat.

Jelasnya, antara agensi terbabit ialah UMNO, Yayasan Wilayah Persekutuan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Baitulmal dan Pusat Pungutan Zakat (PPZ).

"Kita hargai semua bantuan segera daripada agensi berkenaan. Ini membuktikan kesungguhan dan keikhlasan mereka untuk membantu mangsa kebakaran.

"Saya sendiri sudah berjanji akan membantu mana-mana rakyat yang menghadapi kesusahan dengan segera. Kita akan fikirkan cara-cara untuk memastikan semua mangsa mendapat perlindungan sewajarnya," katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar selepas menyampaikan bantuan kepada lima pemilik dan seorang penyewa yang menjadi mangsa kebakaran di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Salleh Yusup dan Ketua UMNO Cawangan Taman Datuk Senu, Mohd. Hasan Jamaludin.

Punca kebakaran dan nilai kerugian yang berlaku pada petang semalam masih belum dapat dipastikan.

Mangsa menerima bantuan wang tunai daripada semua agensi berkenaan.

Tambah Nong Chik, semua mangsa kebakaran akan dipindahkan ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda dalam kadar segera.

Jelasnya lagi, semua urusan perpindahan akan diselesaikan dan sebarang masalah atau aduan yang mungkin ditimbulkan oleh mangsa akan diselesaikan segera.

"Kita akan pindahkan mangsa-mangsa esok. Kita juga akan pastikan mereka mendapat bantuan sewajarnya.

"Semua urusan perpindahan dan beberapa urusan berkaitan akan diselesaikan pihak kami. Kita minta mangsa bersabar dan tidak terlalu risau terhadap bencana yang menimpa," ujarnya.
Sementara itu mangsa kebakaran, Zuzaimi Omar, 41, berkata, bantuan segera yang diterima benar-benar melegakan keluarganya.

Jelasnya, jumlah kerugiannya yang menjangkau RM120,000 disifatkan kisah malang yang menimpa namun reda terhadap apa yang terjadi.

"Semalam saya menghadiri majlis tahlil di rumah jiran. Saya diberitahu rumah terbakar dan ia benar-benar mengejutkan.

"Syukur bantuan yang diberi cepat dan saya juga berterima kasih kerana Menteri Wilayah Persekutuan yang sudi meluangkan masa bersama mangsa hari ini," ujarnya.

No comments:

Post a Comment