Tuesday, April 28, 2009

Raja Nong Chik dalam temubual bersama wartawan Utusan

Raja Nong Chik kini 'kuli' warga kota

ARKIB : 25/04/2009

Oleh ZULKIFLI JALIL dan WAN SYAMSUL AMLY WAN SEADEY
(WARTAWAN UTUSAN)

SENATOR Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin sedang merenung Tasik Putrajaya dari aras empat Menara Putrajaya Holdings (Pjh) ketika Utusan Malaysia yang diiringi pembantu beliau melangkah masuk ke bilik pejabat Menteri Wilayah Persekutuan, Rabu lalu.

Setelah disapa dan salam dihulurkan, sambil duduk di kerusinya, Raja Nong Chik, 56, mengakui cabaran sebagai menteri yang digalasnya kini adalah suatu tanggungjawab dan tugas yang berat.

Meskipun terkejut dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang melantiknya ke jawatan itu tempoh hari, beliau bertekad membalas kepercayaan itu dengan berusaha lebih keras dan sedaya mungkin untuk mendalami dan menyelesaikan permasalahan warga kota.

"Dulu (sebelum Mac 2008) Barisan Nasional (BN) kuat dan sekarang kita masih juga kuat tetapi bezanya hari ini kita kena bekerja lebih kuat dan kerja kita itu kini dalam 'perhatian' rakyat. Saya sering mengingatkannya untuk diri saya," katanya.

Berpenampilan low profile, Raja Nong Chik barangkali kurang dikenali oleh mereka dari luar Kuala Lumpur. Tetapi bagi warga kota khususnya di Lembah Pantai dan Bangsar, sebut sahaja nama "Datuk Raja", pantas tersebar luahan tentang komitmen dan kesungguhannya dalam membantu menyelesaikan masalah setempat.

Berpengalaman luas dalam politik UMNO, daripada pemeriksa kira-kira di peringkat cawangan, ketua pemuda, ahli jawatankuasa (AJK) bahagian, sehinggalah ke jawatan Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai yang disandang sekarang.

"Kuala Lumpur bukannya asing buat saya, sejak kecil lagi saya sudah berada di sini meskipun saya berasal dari Taiping.

"Saya bersekolah dulu naik bas merata dalam KL ini, cuma satu perbezaan yang ketara saya nampak ialah daripada segi perpaduan kaum. Dulu saya dan rakan-rakan dari kaum Cina dan India sungguh akrab.

"Masalah jiran semuanya kami tahu tetapi kini percampuran kurang, duduk dalam flat sampai tak tahu ada jiran yang susah dan menghadapi masalah," katanya.

Sebab itu tegas Raja Nong Chik, matlamat beliau atas kapasiti jawatan Menteri Wilayah Persekutuan adalah mahu membasmi dan mengurangkan semaksimum mungkin kemiskinan di bandar.

Akur akan suasana politik Kuala Lumpur yang hampir kesemua kerusi Parlimennya di bawah pembangkang kecuali Setiawangsa, Labuan dan Putrajaya, Nong Chik menyasarkan dua masalah penting yang akan diberi keutamaan beliau untuk diselesaikan.

"Masalah perumahan untuk warga kota dan tapak berniaga," ujarnya ringkas.

Ditanya adakah beliau maksudkan rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Lembah Pantai, Raja Nong Chik berkata:

"Ya, ketika ini ia disewa dan saya sedang dalam proses untuk membantu penyewa di situ membeli kediaman mereka."

Usaha untuk menukar syarat rumah sewa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ini bagi membolehkan penyewanya membeli unit kediaman mereka pernah dibangkitkan untuk pertimbangan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 3 Mac lalu - beberapa hari menjelang pilihan raya umum ke-12. Namun, perkara itu 'tergantung' sehinggalah diusahakan kembali oleh Raja Nong Chik.

Dianggarkan lebih 3,000 penyewa rumah PPR berhasrat membeli rumah berkenaan. Mengikut bancian DBKL, terdapat 20,000 setinggan melibatkan 3,689 keluarga tinggal di sekitar Lembah Pantai pada 2008.

Bagaimanapun sehingga hari ini sebanyak 3,189 keluarga telah dipindahkan dan yang belum berbuat demikian hanya lebih kurang 500 keluarga.

Raja Nong Chik percaya kira-kira 30,000 orang berminat membeli rumah PPR berkenaan.

"Saya baru mengambil alih (Kementerian Wilayah Persekutuan), Insya-Allah, kita ada prosedur-prosedurnya," katanya.

Bagi tapak berniaga pula, Raja Nong Chik berkata, dalam keadaan ekonomi yang suram ketika ini, beliau bertekad mahu memberi peluang kepada keluarga yang berpendapatan rendah untuk menjana pendapatan.

"Dalam keadaan sekarang, sukar dapat kerja. Jadi, saya akan beri tumpuan supaya ruang-ruang berniaga diberikan secara maksimum khususnya di tempat-tempat strategik," katanya.

Dalam pada itu, beliau juga tidak menolak bahawa perhatian serius akan diberi ke atas keberkesanan DBKL dalam menangani masalah warga kota. Ini kerana hampir 90 peratus aduan diterima oleh DBKL.

Antara isunya berkisar permintaan supaya ditambah kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan sibuk, pusat beli-belah dan tempat tumpuan pelancong, kes pembuangan sampah dalam saluran air di kawasan tumpuan penjaja dan masalah banjir di beberapa kawasan yang memerlukan pembinaan tadahan air.

"Memanglah ada perancangan untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai kota metropolitan berkelas dunia.

"Tetapi matlamat saya pada masa ini adalah untuk menumpukan kepada mereka yang berpendapatan rendah yang meliputi semua lapisan masyarakat," katanya.

Dan ketika Utusan Malaysia meminta diri, Raja Nong Chik beberapa ketika kemudian kembali melemparkan pandangan ke Tasik Putrajaya. Ia seolah-olah mengingatkan dirinya dan semua wakil rakyat BN bahawa begitulah mereka ketika ini - berada dalam 'perhatian' rakyat.

Sunday, April 26, 2009

Raja Nong Chik janji bantu setinggan

Raja Nong Chik berkata, pihaknya akan berusaha untuk membasmi sepenuhnya kemiskinan di kawasan bandar khususnya di Kuala Lumpur. Saya tengok Raja Nong Chik adalah seorang pemimpin yang berjiwa rakyat. Sebagai seorang pemimpin, memang senang hendak menabur janji tapi tindakan dan usaha yang rakyat perlukan. 

Petikan berita berikut saya ambil dari Utusan Online

----------------------------------------------------------------------------------

Nasib 18 keluarga terbela

KUALA LUMPUR 26 April - Nasib 18 keluarga setinggan yang terhimpit di celah bangunan tinggi di Pantai Baru di sini akhirnya terbela apabila Menteri Wilayah Persekutuan, Senator Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berjanji untuk membantu mereka.

Menurutnya, keluarga-keluarga itu akan dibantu dengan mengusahakan penempatan baru yang selesa dalam waktu terdekat ini.

"Usaha akan dilakukan bagi membolehkan keluarga-keluarga ini menerima rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) tetapi sebelum itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menjalankan bancian terhadap 18 keluarga ini terlebih dahulu.

"DBKL akan memastikan mereka memenuhi syarat untuk mendapat rumah di PPR dan merupakan warga negara Malaysia," katanya ketika ditemui semasa melawat 18 keluarga terbabit baru-baru ini.

Beliau berkata, apabila semuanya sudah selesai, lokasi yang sesuai akan dicari supaya keluarga terbabit dapat menjalani kehidupan dengan lebih selesa.

Dalam pada itu, Raja Nong Chik berkata, pihaknya akan berusaha untuk membasmi sepenuhnya kemiskinan di kawasan bandar khususnya di Kuala Lumpur.

Katanya, ia adalah bersesuaian dengan agenda kerajaan yang mahukan nasib rakyat yang susah dibela.

Menurutnya lagi, beliau juga akan berusaha untuk membersihkan kawasan Lembah Pantai pada tahun ini daripada setinggan.

"Matlamat akhirnya ialah seluruh kawasan Kuala Lumpur bebas setinggan menjelang tahun 2010," tegasnya.

Sementara itu, seorang penduduk setinggan yang ditemui, Deris Deraman, 67, berkata, dia terharu dengan kunjungan Raja Nong Chik di kawasan penempatannya itu.

"Kesusahan yang selama ini dialami oleh penghuni di sini telah pun mendapat perhatian dan berharap kami dapat keluar daripada kesukaran ini," katanya sambil memberitahu bahawa rumahnya telah beberapa kali dimasuki haiwan berbisa sejak 30 tahun tinggal di situ.

Seorang lagi penghuni setinggan yang ditemui, Zamri Mohd. Nor, 33, berharap kunjungan Menteri Wilayah Persekutuan itu akan dapat menunaikan janji yang pernah diberikan kepada penduduk di situ kira-kira setahun yang lalu.

Katanya, penghuni-penghuni di situ sememangnya berharap agar mereka dapat dibantu bagi merungkai masalah yang telah membelenggu keluarga masing-masing selama ini.

Oleh NAZMIL NASIRUDDIN

-----------------------------------------------------------------------------------

Raja Nong Chik pernah berkata yang dia hanyalah seorang yang di kalangan golongan biasa. Bukanlah seorang pemimpin ternama tapi ciri-ciri inilah yang jarang ada di kalangan pemimpin sekarang ini. Seorang pemimpin yang senang berada di kalangan rakyat jelata tidak kira golongan miskin atau kaya, inilah yang kita harapkan, seperti yang ditunjukkan oleh Raja Nong Chik. 

Saturday, April 25, 2009

Raja Nong Chik dan Najib Tun Razak solat Jumaat di Masjid Jamek Kampung Baru

Raja Nong Chikbersama dengan PM kita, Najib Tun Razak bersolat jumaat diMasjid Jamek Kampung Baru. Ramai yang seronok dan bangga dapat bersalaman dengan pemimpin kita itu. Inilah yang rakyat mahukan, pemimpin yang berjiwa rakyat, pemimpin yang sanggup meluangkan masa bersama-sama rakyat, tidak kira apa jua keadaan ketika itu. 

Berikut adalah petikan berita yang saya ambil dari Bernama Online. 

---------------------------------------------------------------------------------

KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak menyertai ribuan jemaah menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Kampung Baru di sini hari ini.

Ketibaan Perdana Menteri disambut Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Datuk Che Mat Che Ali.

Jemaah yang menunaikan solat Jumaat di masjid itu dilihat berbaris panjang hingga di perkarangan masjid dibawah terik matahari untuk melihat dan bersalam dengan Najib, yang memakai baju Melayu berwarna merah jambu.

Husin Majat, 47, seorang pekerja di Yayasan Selangor dan kerap menunaikan solat Jumaat di situ, berkata beliau tidak menyangka Perdana Menteri akan bersolat di situ.

"Saya bangga dapat bersalaman dengan Perdana Menteri," katanya.

-- BERNAMA

---------------------------------------------------------------------------------

Turut bersolat Jumaat di Masjid Jamek Kampung Baru ialah Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin. 

Friday, April 24, 2009

Raja Nong Chik dilantik sebagai MT dalam UMNO

Tahniah buat Raja Nong Chik!

Ini keratan berita yang mengesahkan perlantikan beliau.

-------------------------------------------------------------------------------

Mohd. Ali dilantik MT, kekal terajui Melaka

24/04/2009 8:06pm

KUALA LUMPUR 24 April – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam adalah antara yang dilantik sebagai ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO hari ini.

Mohd. Ali yang dilarang bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO dalam Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini, turut dikekalkan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka.

Selain beliau, turut dilantik sebagai MT ialah bekas Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, Datuk Seri Dr. Rais Yatim, Datuk Jamil Khir Baharom, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, Datuk Abdul Ghani Othman, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir. - Utusan

------------------------------------------------------------------------

Raja Nong Chik kini makin bertambah tanggungjawab yang harus dipikul olehnya. Saya ucapkan tahniah dan selamat maju jaya dalam memikul tanggungjawab sebagai Menteri Wilayah Persekutuan dan ahli MT UMNO.

Sekali lagi, tahniah Raja Nong Chik!

Thursday, April 23, 2009

Raja Nong Chik sedia kerjasama

Raja Nong Chik berkata, "memandangkan Wilayah Persekutuan khususnya Kuala Lumpur merupakan bandar kosmopolitan berbilang kaum, jadi penekanan terhadap kepentingan rakyat perlu di dahulukan." 

Saya terbaca petikan berita ini ketika ingin mencari berita mengenai kes saman menyaman dan kes fitnah mengfitnah antara satu sama lain. Agak menyedihkan kerana kebanyakannya adalah kerana salah faham ataupun kesilapan teknikal, tapi kesannya amat dalam. Seperti kata Raja Nong Chik, apa kata kita tumpukan kepada apa yang rakyat perlukan. Dengan keadaan kemelesetan ekonomi dan masalah-masalah sosial yang kita dengar, kita baca, bolehkah hanya segelintir antara kita yang bertindak? Bila kita abaikan perkara-perkara kecil yang membawa ke arah perpecahan, adakah itu membawa keburukan kepada kita? Tidak!

Berikut adalah petikan berita yang saya maksudkan, diambil dari Utusan Online. Marilah kita fikirkan bersama apa yang baik untuk kita dan kita abaikan apa yang membawa mudarat kepada kita. 

------------------------------------------------------------------------

Raja Nong Chik sedia bekerjasama

PUTRAJAYA 15 April - Menteri Wi layah Persekutuan yang baru, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin sedia bekerjasama dengan wakil rakyat pembangkang demi kepentingan rakyat seluruhnya.

Beliau berkata, pendekatan tersebut perlu bagi memastikan rakyat menikmati manfaat dan faedah yang maksimum daripada kerajaan walau pun pembangkang mempunyai fahaman politik yang berbeza.

Bagaimanapun, tegasnya, beliau akan lebih selektif dengan hanya mendengar dan menerima pandangan dan kritikan yang membina sahaja dalam mengaplikasi pendekatan tersebut.

"Memandangkan Wilayah Persekutuan khususnya Kuala Lumpur merupakan bandar kosmopolitan berbilang kaum, jadi penekanan terhadap kepentingan rakyat perlu didahulukan.

"Sekiranya kritikan yang diutarakan oleh pembangkang membawa ke arah kebaikan kepada seluruh masyarakat, saya tiada masalah untuk bekerjasama dengan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima nota penyerahan tugas daripada bekas Menteri Wilayah Per sekutuan, Datuk Seri Zulhasnan Ra fique di sini semalam.

Raja Nong Chik menggantikan Zulhasnan yang digugurkan daripada barisan jemaah menteri yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis lalu. 

Dalam pada itu, beliau mengakui akan berhadapan dengan cabaran besar dalam menjalankan tugas sebagai Menteri Wilayah Persekutuan memandang kan beliau 'dikelilingi' oleh pembangkang, namun itu tidak akan melemahkan semangatnya untuk terus memajukan Wilayah Persekutuan seperti yang diamanahkan.

"Walau di mana sekalipun kita berada, tekanan dan cabaran bekerja akan tetap wujud dan saya yakin akan dapat menghadapi segala cabaran tersebut dengan sebaik-baiknya," jelasnya.

-------------------------------------------------------------------------------

Raja Nong Chik sendiri kata beliau sedia menerima kritikan andainya kritikan itu kritikan yang membina. Tapi andainya kita sendiri yang menutup minda kita untuk menerima apa jua kritikan, maka semua jenis kritikan tidak akan masuk ke dalam minda kita termasuklah kritikan yang membina. Rugi, bukan? Oleh itu, marikah kita teladani sikap terbuka ini seperti sikap Raja Nong Chik. 

Tuesday, April 21, 2009

Raja Nong Chik Berbakti Demi Rakyat

Raja Nong Chik bukanlah orang sebarangan. Kenapa saya kata begitu? Lihatlah apa yang telah dilakukan dalam masa beberapa hari beliau diamanahkan dengan tanggungjawab sebagai Menteri Wilayah Persekutuan. Ada yang tidak percaya terhadap kemampuan beliau untuk memajukan wilayah persekutuan, malah untuk menaiktarafkan KL dan penduduknya. Tapi saya percaya berita-berita tersiar dan bukti-bukti yang terpampang mampu menangkis dan menafikan tanggapan-tanggapan terbabit.

Semua orang tahu bukan senang tanggungjawab Menteri Wilayah Persekutuan tapi kita masih berada di muka surat satu, jalan cerita masih kabur di pandangan kita. Oleh itu kita hanya mampu tunggu apa yang si penulis, Raja Nong Chik ingin ceritakan kepada kita.

Berikut adalah artikel yang saya ambil dari berita harian online.

`````````````````````````````````````````````````````````````````````````````

Raja Nong Chik mahu pastikan penduduk di ibu negara hidup sejahtera

KUALA LUMPUR : Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin akan memulakan tugas baru beliau untuk permulaan tiga bulan pertama ini dengan lebih kerap turun padang berjumpa pemimpin masyarakat di ibu negara bagi mengetahui masalah yang ada.

Katanya, pendekatan itu sejajar dengan matlamat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mahukan setiap pandangan dan masalah serta keperluan penduduk diutamakan bagi menjamin kesejahteraan hidup bermasyarakat di negara ini.

“Untuk jangka masa pendek bagi tiga bulan pertama ini, saya akan turun padang berbincang dengan pemimpin masyarakat di sini untuk membincangkan beberapa masalah membabitkan penduduk termasuk masalah perumahan, penjaja, penyelenggaraan dan kemiskinan di ibu negara.

“Saya juga akan mendekatkan diri atau lebih berkenalan dengan pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi memudahkan kerja sebagai satu kumpulan bagi merencana urusan di ibu negara selain mempersiapkan diri untuk prestasi kerja dalam masa sebulan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja pertama di pejabat beliau di DBKL di sini, semalam, selepas dilantik menjadi menteri terbabit menggantikan Datuk Seri Zulhasnan Rafique pada 9 April lalu.

Hadir sama, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Fuad Ismail; Ketua Pengarah DBKL, Datuk Salleh Yusup dan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Ahmad Phesal Talib.

Raja Nong Chik berkata, dengan pengalaman yang ada sebagai Ketua Umno Bahagian Lembah Pantai, beliau percaya tidak akan berhadapan sebarang masalah untuk berjumpa dengan penduduk setempat untuk bersama mendekati dan menyelesaikan masalah rakyat pada peringkat akar umbi.

Katanya, beliau juga memahami cara kerja yang dijalankan DBKL selama ini dan melihat peranan yang dimainkan DBKL perlu diperhebatkan lagi dari semasa ke semasa dengan memberi fokus utama terhadap kepentingan masyarakat.

“Pembaharuan yang akan dilaksanakan ini adalah mengikut keperluan yang ada dari segi kewangan tambahan pula dalam keadaan dunia mengalami krisis ekonomi hebat dan ini termasuk matlamat dalam menjadikan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandaraya bertaraf dunia, ia memerlukan masa dan komitmen secara berperingkat.

“Ia bukan sekadar ingin menjadikan ibu negara dikenali sebagai bandaraya berkelas dunia dan pusat perniagaan semata-mata, tetapi juga kita akan menggiatkan usaha ke arah pentadbiran dan keperluan penduduk dengan kerjasama beberapa pihak yang boleh membantu menjadikan Kuala Lumpur kota yang lebih tersusun,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Fuad berkata, pihaknya juga akan bersama-sama kementerian mendengar masalah dan pandangan masyarakat setempat selain mempertingkatkan beberapa mekanisme serta mengenal pasti ciri-ciri yang ada dalam menjadikan Kuala Lumpur bandar raya bertaraf dunia.

Oleh Umi Nadirah Abdul Rahman

`````````````````````````````````````````````````````````````````````````````

Ramai antara kita pandai bercakap, tapi tidak ramai yang mampu jadi seperti Raja Nong Chik, yang mampu memimpin sejajar dengan keperluan dan perkembangan semasa. Sokongan penuh dari saya buat Raja Nong Chik!

Monday, April 20, 2009

Raja Nong Chik dan MISBAN

Raja Nong Chik Menteri baru Wilayah orang grassroots, campur dengan rakyat bawahan. Kita sokong dia 100%, dan harap dapat improve daripada Menteri sebelum ini. Kita ucap terima kasih pada Datuk Zulhasnan, tapi kita juga taruh harapan besar pada Datuk Raja Nong Chik.

Dalam perhimpunan Agung UMNO baru ni, dia ada cadangkan cara atasi masalah Melayu bandar. Kata Raja Nong Chik,

”Pada hari ini saya ingin memperkenalkan pula perkataan ”MISBAN”. MISBAN yang saya maksudkan di sini adalah MISKIN BANDAR.

YAB Timbalan Presiden juga dalam ucapan pembukaan Persidangan Pemuda, Wanita dan Puteri Telah menyentuh bahawa pada ketika ini 2/3 daripada orang Melayu tinggal di bandar khususnya generasi Muda. Inilah antara sebab kita dilanda tsunami dalam PRU yang lalu.

Mesti ada mekanisme mengenalpasti dan menangani MISBAN. Pentafsiran MISBAN perlu berbeza daripada takrifan kemiskinan Luar Bandar (MISLUB). Kita maklum bahawa UMNO sudah berjaya dalam polisi meningkatkan ekonomi orang Melayu luar Bandar. Contohnya Penduduk Luar Bandar disediakan elaun musim tengkujuh untuk nelayan, elaun beruk untuk panjat pokok, di samping insentif daripada agensi seperti FELDA dan RISDA. Tetapi apakah dasar khusus untuk meningkatkan ekonomi orang Melayu di dalam Bandar iaitu MISBAN kita?
Tekanan hidup di dalam Bandar adalah amat tinggi dan sebagai wakil Wilayah Persekutuan, saya melihat isu ini sebagai isu yang amat kritikal untuk menarik hati rakyat MISBAN kepada UMNO dan BN. Jesteru saya ingin mencadangkan perkara-perkara berikut :

Pertama, peluang perniagaan dan pekerjaan perlu diperluaskan dan dipermudahkan. Isu penjaja kecil yang tidak berlesen perlu ditangani dengan bijak. Kurangkan birokrasi untuk mendapatkan lesen, beri ruang berniaga yang lebih banyak dan sekiranya terdapat penjaja yang berniaga di tempat yang tidak dibenarkan, bantu mereka, tolong mereka mendapatkan lesen bukannya menghukum mereka. Mereka perlu berniaga kerana dengan perniagaan itu mereka memperolehi pendapatan untuk menampung kehidupan mereka dan keluarga mereka.

Kedua, Latihan untuk lepasan graduan dan pekerja yang diberhentikan. Di dalam suasana ekonomi masa kini, latihan attachment di syarikat-syarikat untuk kumpulan ini boleh dibuat dan kerajaan memberikan peruntukkan geran bagi menampung sebahagian daripada kos latihan tersebut. Ini akan mengelakkan lebih ramai pengangguran di bandar disamping merancakkan kegiatan ekonomi negara.

Ketiga, Perumahan merupakan isu asas kepada penduduk dalam bandar. Dengan ekonomi masa kini yang semakin kritikal, penduduk Melayu dalam bandar semakin tertekan untuk memiliki rumah mereka sendiri. Rumah kos sederhana dan rendah untuk penduduk dalam bandar perlu diperbanyak dan dipermudahkan pemilikannya. Saya menyarankan agar kerajaan mewujudkan lebih banyak rumah-rumah kos rendah PPR untuk dijual dengan secepat mungkin supaya sekurang-kurangnya orang Melayu di bandar ada satu aset dalam kehidupan mereka.

Keempat, UMNO Wilayah Persekutuan merasakan bahawa sudah tiba masanya untuk memperkenalkan dasar gaji minimum. Ekonomi negara dah berkembang, inflasi pula turut meningkat. Masyarakat bandar perlu menampung kos hidup yang tinggi. Dengan menetapkan gaji minimum dibandar, 2/3 penduduk Bandar yang terdiri daripada orang Melayu ini akan memperolehi manfaat.”

Kita sokong Raja Nong Chik 100%. Harapan kita dah jadi Menteri WP ni boleh lah Raja Nong Chik usahakan cadangan dia.