Saturday, June 27, 2009

Raja Nong Chik selesaikan isu Keramat Mall

Setelah bertahun-tahun tak selesai isu Pasar Baru Keramat atau nama glamernya Keramat Mall, walaupun setelah siap dan sedia diduduki, akhirnya Raja Nong Chik Menteri Wilayah Persekutuan membuat kata putus yg dijangka menyelesaikan isu ini "once and for all".






Di bawah pula laporan Utusan Malaysia

Kemelut Keramat Mall selesai

KUALA LUMPUR 23 Jun - Kemelut yang melanda pasar baru Keramat Mall hampir selesai.

Bagaimanapun, jalan penyelesaiannya menyaksikan kerajaan terpaksa menambah peruntukan sebanyak RM15 juta lagi untuk pembinaan bangunan baru bagi menempatkan peniaga barang basah.

Ketika ini, kos pembinaan pasar baru Keramat Mall telah pun mencecah RM56 juta dan apabila ia siap sepenuhnya kelak, kosnya sudah pasti menjadikannya pasar awam termahal di negara ini.

Kos yang begitu tinggi itu sebahagiannya adalah demi memenuhi beberapa tuntutan peniaga selain akibat masalah projek yang tertunggak. Secara keseluruhannya, pembinaannya kini telah memakan masa kira-kira 10 tahun.

Dan, ia sebenarnya hanya akan siap sepenuhnya tiga tahun lagi dengan keputusan terbaru Kementerian Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk membina bangunan tambahan yang dikhususkan untuk lebih 124 peniaga barang basah.

Bagaimanapun, bahagian yang telah siap dijangka memulakan operasinya pada Oktober ini, yang akan diisi oleh peniaga barang kering termasuk di gerai berkunci.

Bangunan tambahan yang baru pula akan mengambil tempat di lot tanah bersebelahan Keramat Mall iaitu yang berhadapan dengan stesen transit aliran ringan (LRT) Damai.

Projek yang merupakan jalan penyelesaian terhadap kemelut yang berpunca daripada keengganan para peniaga Pasar Datuk Keramat berpindah ke Keramat Mall itu diumumkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Senator Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin di sini hari ini.

Sebelum itu, beliau selepas mengadakan pertemuan hampir dua jam dengan Persatuan Penjaja-Penjaja dan Peniaga-Peniaga Kecil Melayu (PPPKM) Cawangan Datuk Keramat di Menara DBKL di sini.

Program pemindahan peniaga-peniaga di Pasar Datuk Keramat tertunda beberapa kali akibat keengganan mereka berpindah ke pasar baru itu atas beberapa sebab.

Antaranya para peniaga merasakan lokasi pasar basah di dalam Keramat Mall tidak strategik dan tidak berpuas hati dengan reka bentuk petak gerainya. Selain itu mereka menuntut tempat pemunggahan ditambah dan tanjakannya diperbesarkan.

Mereka juga mendesak agar petak letak kereta ditambah bagi menampung jumlah kenderaan pengunjung termasuk yang akan berurusan di Dewan Perdana yang boleh menempatkan kira-kira 1,000 orang di dalam Keramat Mall.

"(Pertemuan ini adalah) urutan daripada program turun padang kira-kira sebulan lalu di mana kami telah mendengar pandangan daripada peniaga dan pengguna.

"Pasar baru itu berharga RM56 juta dan hampir siap... hanya tinggal kerja-kerja penambahbaikan (seperti yang diminta oleh peniaga).

"Peniaga-peniaga tak puas hati terhadap beberapa ciri. Mereka takut ia akan menjejaskan perniagaan mereka," kata Raja Nong Chik kepada pemberita.

Menurut beliau, DBKL telah membuat kajian selepas program lawatan ke Keramat Mall pada 22 Mei lalu dan menemui beberapa jalan penyelesaian terbaik.

"Sepanjang sebulan lalu, DBKL telah mencadangkan beberapa perubahan khususnya kepada pasar basah.

"Mereka akan pindah (ke pasar baru) dalam masa tiga tahun. Kami akan buat tempat berasingan untuk mereka.

"Dalam masa tiga tahun ini juga, kerja-kerja akan dilakukan untuk menambah jumlah tempat letak kereta daripada 256 kepada kira-kira 600 petak yang cukup untuk kegunaan pelanggan dan juga tetamu majlis yang dibuat di dalam Dewan Perdana," jelasnya.

Menurut beliau, apabila Keramat Mall siap kelak, DBKL akan membantu program pemindahan peniaga barang kering ke situ, yang dijangka dilakukan pada Oktober.

"Proses pengundian (petak) untuk peniaga pasar kering, gerai berkunci dan lain-lain akan dibuat pada Ogos dan pemindahan dibuat selepas hari raya.

"Pada pertemuan hari ini juga para peniaga meminta diberikan diskaun sewa iaitu dibenarkan meniaga secara percuma untuk tempoh tertentu kerana ini tempat baru dan perniagaan belum stabil. Kami akan pertimbangkan," ujarnya.

DBKL dijangka mengenakan sewa bulanan antara RM150 hingga RM500 setiap petak mengikut keluasan.

Mengenai ruang kosong yang sebelumnya dikhaskan untuk pasar basah, beliau berkata, ia akan diisi oleh peniaga barangan kraf tangan.

"Kami akan bekerjasama dengan Kraftangan Malaysia untuk tujuan itu," ujarnya.

Beliau turut menafikan bahawa kos RM15 juta untuk pembinaan bangunan tambahan itu sebagai satu pembaziran.

"Kos itu termasuk pengambilan tanah. Ia bukan pembaziran kerana dengan konsep rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan kita kena fikir faedah untuk jangka panjang

"Mengenai reka bentuk bangunan tambahan ini, DBKL dah ambil pandangan peniaga... mereka dah janji untuk masuk apabila siap.

"Kita kena pastikan aset-aset kerajaan ini akan digunakan secepat mungkin bagi mengelak pembaziran.

"DBKL akan bantu peniaga dengan mengadakan promosi," katanya sambil menambah bahawa pembinaannya akan dimulakan sebaik sahaja proses pengambilan tanah selesai.

(Utusan Malaysia 24 Jun 09)



Tahniah Datuk Raja Nong Chik. 15 juta pun 15 jutalah. Apa nak buat, pengurusan DBKL dahulu ayam, bangang nak mampus. Terpaksalah repair kerja orang terdahulu yang mengarut-ngarut dan tak professional.

Semoga kes ini selesai.

No comments:

Post a Comment