Friday, August 7, 2009

Raja Nong Chik - jumlah pampasan yang dituntut mungkin lebih daripada anggaran asal

Raja Nong Chik semalam terima memo dari persatuan teksi yg banyak kerugian akibat demo yg tak fikir periuk nasi orang susah.

KUALA LUMPUR 6 Ogos - Semakin banyak persatuan membuat tuntutan terhadap penganjur demonstrasi membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Sabtu lalu.

Terbaru, 20 persatuan melibatkan peniaga, pemandu teksi dan pengusaha hotel membuat tuntutan yang berjumlah kira-kira RM200 juta terhadap kerugian yang mereka alami.

Antara persatuan yang terlibat termasuk Persatuan Penjaja dan Pekedai Bumiputera Wilayah Persekutuan, Pertubuhan Pemandu dan Pengusaha Teksi/Limosin dan Kereta Sewa Malaysia dan Persatuan Pengusaha Hotel.

Tuntutan mereka itu disampaikan kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Senator Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin di lobi Ibu Pejabat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini.

Menurut Raja Nong Chik, berdasarkan perkembangan terbaru ini jumlah pampasan yang dituntut mungkin lebih daripada anggaran asal pihaknya iaitu sebanyak RM200 juta memandangkan kerugian yang terpaksa ditanggung pihak terlibat termasuk kerosakan harta benda, kehilangan pelanggan dan kerugian perniagaan.

Menurutnya, pihak kementerian akan mengumpulkan semua tuntutan yang dikemukakan dan akan menyerahkan kepada pihak penganjur.

"Sekiranya pihak berkenaan enggan menerima, mereka perlu menunjukkan surat tunjuk sebab kepada kementerian," ujarnya kepada wartawan.


Beliau menambah, tuntutan yang dikemukakan itu diharap memberi pengajaran kepada pihak yang menganjurkan demonstrasi supaya tidak mengulangi perbuatan tidak bertanggungjawab itu.

"Apa yang penting sekarang perkara (demonstrasi) tersebut tidak seharusnya berulang lagi. Ia meninggalkan kesan mendalam bukan sahaja kepada peniaga tetapi memberi kesan buruk kepada bandar raya ini sendiri terutama kepada pelancong asing," ujarnya.

Beliau menambah, jika benar sekalipun mereka mahu berdemonstrasi pada masa depan, lakukan di tempat lain yang lebih tertutup seperti yang dicadangkan Perdana Menteri agar tidak mengganggu orang ramai.

Sementara itu Yang Dipertua Persatuan Penjaja dan Pekedai Bumiputera Wilayah Persekutuan, Mithlan Samijoo berharap dengan penyerahan memorandum itu sekurang-kurangnya dapat membantu pihak persatuan membuat tuntutan kepada pihak penganjur demonstrasi.

"Kami berharap perkara ini tidak akan berulang lagi lebih-lebih lagi di kawasan yang menjadi periuk nasi peniaga seperti kami mencari rezeki.

"Adalah tidak adil jika kami turut diheret sama sehingga menyebabkan kerugian beratus-ratus ribu ringgit," ujarnya.

Bagi Timbalan Presiden Pertubuhan Pemandu Dan Pengusaha Teksi/Limosin dan Kereta Sewa Malaysia , Mohd. Syahrir Abdul Aziz, memorandum bantahan itu bertujuan memastikan pihak bertanggungjawab tidak lepas tangan selepas apa yang menimpa mereka.

Katanya, demonstrasi itu menyebabkan pemandu teksi terpaksa menanggung kerugian kerana ramai penumpang takut menggunakan perkhidmatan teksi untuk ke pusat bandar.

"Saya berharap kementerian dapat menjadi orang tengah menuntut kerugian daripada pihak penganjur," ujarnya.

(Utusan)


Kod: raja Nong Chik

1 comment:

  1. setuju sgt dgn tindakan pihak2 tersebut, saman jer si GMI dan puak2 yg dok suka buat demo dgn tak ambil kira kesusahan org lain terutama org melayu. mereka dgn bangga dan takbur, dgn buat demo maka org2 sekeliling akan turut serta dan sokong dgn apa yg mereka buat. puak2 tu tak sedar yg ramai org menyampah dan bosan dgn perangai politik 'tin kosong' yg tak sudah2, taktik nak tarik perhatian org yg mcm ni dah lapuk, dah basi dan dah tak laku. harap raja nong chik akan bantu plaintif2 tersebut.

    ReplyDelete