Friday, October 9, 2009

Kementerian WP kerjasama dengan swasta jana pendapatan

Sebagai seorang warga Kuala Lumpur, saya rasa rakyat bertambah yakin terhadap kerajaan hari ini berikutan tindakan-tindakan bijak dan berinovasi yang diambil. Sudah tentu Kementerin Wilayah Persekutuan bawah Datuk Raja Nong Chik, bekas bos besar tempat saya mula-mula kerja sewaktu memulakan alam pekerjaan merupakan satu dari Kementerian yang paling dinamik dan berinovasi hari ini.

Terbaru beliau mengumumkan akan mengadakan lebih kerjasama dgn swasta sebagai satu cara menangani kesempitan ekonomi.

Dari Utusan:

KUALA LUMPUR 6 Okt. - Kementerian Wilayah Persekutuan dan agensi di bawahnya terutama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengadakan lebih banyak kerjasama dengan pihak swasta bagi menjana pendapatan, yang kemudiannya akan dibelanjakan untuk rakyat.

Menterinya, Senator Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, kerjasama itu perlu dilakukan kerana pendapatan kerajaan dijangka menurun akibat kemerosotan ekonomi dunia.

"Perbelanjaan tahun depan adalah daripada hasil yang diperoleh pada tahun ini. Apabila ekonomi menguncup, kita jangka kutipan hasil juga menurun kerana orang tak ada duit (untuk bayar cukai).

"Perdana Menteri telah memaklumkan bahawa kementerian-kementerian dan agensi-agensinya boleh menjalinkan kerjasama dengan pihak swasta, boleh jalankan projek untuk tambah pendapatan.

"Jadi kami kena kreatif kerana kutipan hasil kerajaan berkurangan (akibat ekonomi dunia menguncup). Jika sesuatu kementerian itu kreatif, sebahagian pendapatan daripada projek yang dijalankan akan diberikan kepada kementerian berkenaan," kata beliau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan kementeriannya dan agensi di bawahnya serta majlis Hari Raya Aidilfitri DBKL di Stadium Titiwangsa di sini hari ini.

Katanya lagi, rakyat juga perlu menerima hakikat, dalam keadaan ekonomi sekarang, beberapa perkara perlu dikorbankan kerana kementerian dan DBKL perlu berbelanja secara berhemat.
Jelasnya, beberapa perkara asas berkaitan kepentingan rakyat akan diberikan keutamaan manakala perkara kurang penting akan ditangguh terlebih dahulu.

"Keutamaan saya sekarang ialah selepas jual rumah (Projek Perumahan Rakyat), kita akan tumpu pada penyenggaraan pula seperti flat dan sebagainya.

"Kita kena korbankan beberapa perkara lain.

"Harap pada 2010 ekonomi akan meningkat dan perancangan kita akan berbeza, bukan kerajaan tak nak berbelanja untuk rakyat tetapi kita kena ada keutamaan, jadi pembangunan beberapa projek kena ditangguhkan mungkin pada RMK-10 (Rancangan Malaysia ke-10)," tegasnya.

Dalam perkembangan lain, Datuk Bandar, Datuk Ahmad Fuad Ismail berkata, pihak jururunding projek pembinaan tidak akan terlepas daripada dipertanggungjawabkan jika berlaku kerosakan bangunan akibat gempa bumi.

"Jika berlaku sebarang kerosakan, kita akan serahkan kepada pihak swasta... jururunding juga tidak boleh lari," katanya.

Beliau mengulas mengenai laporan beberapa bangunan retak termasuk di Hospital Kuala Lumpur, akibat gegaran gempa bumi yang berlaku di Padang, Sumatera baru-baru ini.

Katanya lagi, pihaknya ada menerima beberapa laporan mengenai kerosakan bangunan akibat gempa tetapi pemeriksaan mendapati ia bukan melibatkan kerosakan struktur dan premis terbabit masih selamat.

Ujarnya, daripada pengalaman beliau, struktur bangunan di Kuala Lumpur adalah kukuh tetapi tiada jaminan ia tidak akan rosak.

"Jika kerja-kerja cerucuk bagus, maka struktur bangunan itu akan kukuh. Jika bergegar pun tidak terasa sangat," katanya.

Katanya lagi, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan jururunding untuk mendapatkan kerjasama mereka agar struktur dibina dengan kukuh terutama di kawasan tanah bekas lombong.


No comments:

Post a Comment