Saturday, May 30, 2009

Raja Nong Chik akan berusaha menawan balik Lembah Pantai

Raja Nong Chik yang dikenali sebagai Menteri yang kerap turun padang dan menangani masalah rakyat akan berusaha menawan balik Lembah Pantai untuk membela rakyat. InsyaAllah

-------------------------------------------------------------------------

BN mahu tawan semula Lembah Pantai
KUALA LUMPUR 29 Mei - Parlimen Lembah Pantai akan menjadi kawasan tumpuan utama bagi Barisan Nasional (BN) di Wilayah Persekutuan dalam usaha merampas semula kerusi tersebut daripada parti pembangkang.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Senator Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, usaha itu boleh dibuat dengan cara melipatgandakan program turun padang dan mendekatkan diri dengan akar umbi.

"Saya sendiri akan turun padang sekerap boleh tanpa sebarang protokol.

"Dengan gerak kerja seperti ini saya yakin hati pengundi akan dapat ditawan dan menjadikan kawasan Lembah Pantai milik BN semula," katanya ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra bersama wakil-wakil media di sini.

Raja Nong Chik yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, gerak kerja akar umbi juga melibatkan kawasan lain seperti Wangsa Maju, Titiwangsa, Batu, Segambut dan Bandar Tun Razak yang kini dikuasai pembangkang.

"Kawasan-kawasan ini dahulunya milik BN tetapi dimenangi oleh pembangkang pada pilihan raya lalu.

"BN Wilayah yakin dapat memenangi semula kawasan itu jika usaha turun padang dilakukan secara konsisten," ujarnya .

Terdahulu dalam ucapannya, Raja Nong Chik meminta media di negara ini berperanan sebagai perantara masyarakat dan kerajaan untuk menyelesaikan masalah rakyat.

Beliau berkata, liputan meluas media mengenai pembangunan yang dilaksanakan kerajaan akan membolehkan ia diketahui oleh rakyat secara lebih berkesan.

Sehubungan itu, katanya, beliau akan bekerjasama dengan semua media bagi kepentingan pembangunan masyarakat di negara ini khususnya di Wilayah Persekutuan.

"Pertemuan dengan wakil-wakil media di majlis ini akan menjadi titik tolak kepada jalinan hubungan yang lebih erat antara saya secara peribadi dan pihak kerajaan bersama media," katanya.

Utusan, 30 Mei 2009

No comments:

Post a Comment