Datuk Raja Nong Chik mengambil langkah untuk memperbaiki lagi kemudahan di pasar baru untuk memenuhi tuntutan peniaga di Pasar Datuk Keramat sebelum mereka dipindahkan ke pasar baru. Syabas Datuk
--------------------------------------------------------------------------------
Pemindahan peniaga ditangguh?
Oleh A. JAILANI ABDULLAH
kota@utusan.com.my
KERAMAT 22 Mei - Program pemindahan para peniaga dan penjaja di Pasar Datuk Keramat ke pasar baru yang dinamakan Keramat Mall dijangka tidak dapat direalisasikan pada tahun ini.
Walaupun belum ada keputusan muktamad dalam soal tersebut tetapi itulah bayangan yang diberikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.
Ketika ditanya pemberita mengenai isu pemindahan itu selepas mendengar taklimat dan melawat Keramat Mall semalam, beliau berkata, beberapa tuntutan peniaga dilihat ada asasnya dan beberapa kemudahan terutama untuk penjaja di pasar basah perlu diperbaiki.
Ini bermakna, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu memenuhi beberapa tuntutan peniaga terbabit terlebih dahulu, sekali gus membawa maksud pemindahan mereka akan ditangguhkan.
Bagi Persatuan Penjaja-penjaja dan Peniaga-peniaga Kecil Melayu (PPPKM) Cawangan Datuk Keramat, jawapan Raja Nong Chik itu ternyata sesuatu yang menggembirakan dan ditunggu-tunggu oleh mereka.
"Saya telah mendengar maklum balas daripada kedua-dua pihak (perunding projek Keramat Mall dan PPPKM Datuk Keramat)... memang ada kekurangan dan saya akan bincangkan dengan Datuk Bandar apa yang boleh dilakukan.
"Sememangnya kita dahulukan penduduk dan peniaga (di Datuk Keramat) dan ini adalah matlamat kerajaan dan DBKL," katanya selepas lawatan itu.
Lawatan itu turut disertai oleh Datuk Bandar, Datuk Ahmad Fuad Ismail, bekas Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Suleiman Mohamed, Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr. Lo'Lo' Ghazali dan Pengerusi PPPKM Datuk Keramat, Shoid Chee.
Bagaimanapun, kata Raja Nong Chik, beliau tidak dapat menjanjikan apakah tuntutan yang akan dipenuhi oleh DBKL berikutan peruntukan yang terhad terutama dalam keadaan ekonomi sekarang.
"Kerajaan juga ada keutamaan di tempat-tempat lain. Projek ini dah lama (hampir 10 tahun), mungkin (sewaktu ia dirancang) sesuai pada waktu itu tetapi bukan sekarang.
"Lawatan saya ke sini untuk melihat sendiri keadaannya kerana saya ada menerima surat-surat (bantahan) daripada persatuan peniaga.
"Jika duduk di pejabat, saya tidak nampak masalah di sini. Kebetulan bila datang, hari hujan dan kita lihat ada tempias dan air bertakung. Selain itu, mereka (peniaga) mengadu mengenai beberapa perkara seperti tanjakan yang tidak sesuai dan masalah lif.
"Ini memang memerlukan pembaikan... tetapi saya akan bincang dulu dengan Datuk Bandar. Saya tidak boleh beri butirannya sekarang," jelasnya.
Ditanya tempoh yang akan diambil untuk menyempurnakan projek itu dan bila peniaga akan dipindahkan, beliau berkata, ia juga akan dibincangkan terlebih dahulu dengan Datuk Bandar.
"Projek ini telah lama, kita tidak mahu ia jadi gajah putih. Bagi saya pembaziran juga satu dosa. Saya dah nampak perkara-perkara yang memerlukan pembaikan tetapi belum boleh beritahu sekarang sebab saya kena dengar juga pandangan pakar-pakar.
"Yang pentingnya ialah kita akan cuba mencari penyelesaian menang-menang dan mengutamakan keselesaan penduduk dan peniaga di sini," tegasnya.
Utusan, 23 Mei 2009
Saturday, May 23, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment